Sakit atau musibah yang datang adakalanya ringan dan ada masanya berat. Bergantung kepada kekuatan diri individu. Sebagai ujian dari Allah mengikut kemampuan kita. Kesakitan dan musibah juga dianggap sebagai kaffarah terhadap dosa - dosa yang telah dilakukan. Sahabat nabi amat risau jika tidak sakit kerana bimbang Allah tidak kasihkan mereka. Tetapi, kita hari ini sebolehnya menolak kesakitan dan musibah yang datang. Mudahnya kita mengeluh, berputus asa, bersedih yang keterlaluan dan lain -lain lagi.
Datangnya sakit atau musibah lebih mendekatkan kita kepada Allah. Pada waktu itulah kita ingat Allah. Menyebut -nyebut namanya. Kerap berdoa kepada Nya. Maka di sinilah perlunya syukur atas nikmat kesihatan yang Allah berikan. Syukur itu diterjemahkan melalui penambahan amal ibadah serta perkara - perkara yang diredhaiNya.
Kita telah diajar untuk mengamalkan doa untuk kesihatan iaitu: : "Ya Allah sihatkanlah penglihatanku, pendengaranku dan tubuh badanku..."
Kematian yang datang adalah kiamat kecil bagi individu. Hadirnya tidak diketahui bila. Namun Allah mendatangkan tanda -tanda. Bertambahnya usia, rambut yang hitam menjadi putih, pendengaran yang kurang baik dan pelbagai lagi. Setiap hari kita dijengah beberapa kali oleh malaikat maut. Semakin dekat saat sampainya ajal semakin kerap rupanya malaikat maut menjengah kita.Ini menurut buku " Tazkiyatul Maut oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz" yang pernah saya baca. ( cubalah baca buku yang cukup menyedarkan ini).
Sebagai insan, kita kerap terlupa dan Allah menghantar peringatan - peringatan kepada kita supaya kembali berada di landasan Nya. Sama ada dengan kesakitan yang dialami atau melihat kesakitan dan kematian orang lain. ( Takziah diucapkan kepada Majikan saya atas kembalinya abangnya ke rahmatullah semalam. Semoga Arwah di tempatkan dikalangan orang -orang yang beriman dan beramal soleh...alfatihah).
Sama ada berat atau ringan kesakitan atau musibah yang menimpa pasti di sebaliknya ada sesuatu yang baik untuk kita... hanya Allah Yang Mengetahui. Bersama -samalah kita redha dan meningkatkan ketaqwaan kepadaNya.
Setiap kesusahan berserta dengannya kemudahan...
"Ya Rabb jadikanlah aku hambaMu yang Redha dengan ketetapanMu.. amin".
No comments:
Post a Comment