Thursday, November 6, 2008

Ermmm... tak nokohnya....

"Erm... tak nokoh beno kamu rope itu...."

Gitulah lebih kurang loghat Perak bila tengok yang tak berkenan.
Kali ini saya nak menyentuh soal pakaian bagi wanita. Soal pakaian juga berkait rapat dengan maruah dan keselamatan diri individu wanita.Bila sebut bab pakaian maka ia terus dikaitkan dengan aurat. Maka di sini wujudnya tuntutan menutup aurat. Allah telah berfirman dalam surah Annur ayat 31 :

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٣١)

" Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka melabuhkan tudungnya ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera - putera mereka, atau putera -putera suami mereka, atau saudara - saudara lelaki mereka, atau putera - putera saudara lelaki mereka, atau putera - putera sudara perempuan mereka atau perempuan sesama islam, atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan)atau anak - anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. dan jaganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyaikan. dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai orang yang beriman, agar kamu beruntung".

Allah juga telah berfirman yang maksudnya :

"Wahai nabi! Katakanlah kepada isteri - isterimu, anak - anak perempuanmu dan isteri - isteri orang mukmin, "hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka . yang demikian itu, agar mereka lebih dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun , Maha Penyayang" (al Ahzab ayat 59)


Perintah menutup aurat ataupun berpakaian menutup aurat adalah cukup jelas namun masih ramai orang Islam di kalangan perempuan yang enggan berbuat demikian. Bagi mereka kecantikan yang dikurniakan oleh Allah adalah hak mereka sepenuhnya dan terserah kepada mereka untuk mempertontonkan kepada khalayak. Kecantikan yang dimiliki perlu diserlahkan. Rambut mereka perlu ditunjukkan bagaimana rupanya. Begitu juga bentuk tubuh badan mereka. Seolahnya mereka ingin menunjukkan bahawa mereka memiliki kecantikan yang abadi.

Situasi hari ini, cara berpakaian lebih bersifat fesyen dan "trendy". Pemakaian tudung juga telah berjaya dipelbagaikan; ala gipsi yang menutup kepala sahaja sedang dada dan sebahagian leher dan telinga kelihatan. tudung yang dipintal - pintal dan pelbagai lagi yang saya kurang arif tentangnya... terdapat juga yang bertudung tetapi pendek dan jarang. Baju - baju yang dikenakan juga dilihat lebih mengikut bentuk badan di samping tayangan bahagian dada atau belakang, ketat dan singkat. Ada juga yang bertudung tetapi baju dan seluar yang ketat dan londeh.


Pemakainya tidak berasa janggal atau kekok, sebaliknya berasa gah dan bangga berpakaian sedemikian. Ada juga di kalangan wanita / remaja bila ditegur tentang cara mereka berpakaian, mereka akan mengatakan itu adalah hak individu. Benarkah begitu? Individu muslim adalah hak Allah, dan apabila Allah mensyariatkan aurat kepada semua manusia muslim ia adalah tuntutan yang wajib dilaksanakan. Maka masyarakat Islam berhak menegur dan mendidik individu berkaitan perkara ini.


Memakai pakaian yang sempurna menutup aurat mempunyai pelbagai hikmah yang kadang kala tidak kita sedari. Pakaian juga adalah untuk keselamatan diri. Individu yang menutup aurat telah menutup ruang untuk para "pensyahwat" tergoda kepadanya juga menutup ruang godaan syaitan. InsyaAllah orang yang menutup aurat akan terpelihara dari mangsa rogol dan sebagainya.( kes - kes rogol yang berlaku hari ini yang tidak mengira mangsa adalah disebabkan penyakit masyarakat yang parah iman serta akhlaqnya). Begitu juga kes ragut. Saya yakin wanita yang bertudung labuh terselamat dari kes ragut... insyaallah. Ini kerana wanita yang bertudung labuh, beg tangannya tidak kelihatan akibat terlindung dek tudung yang labuh. Secara tidak langsung ia menutup ruang untuk diragut.


Saya kerap mengiringi majikan saya ke majlis - majlis. Pernah satu ketika, saya lihat majikan saya membawa beg tangan , kemudian ketika berjalan dan menyampaikan ucapan, beg tangannya tidak kelihatan. Setelah majikan duduk dan mengeluarkan beg tangannya baru saya perasan beg tangannya terlindung di sebalik tudung labuhnya. Saya juga pernah ditegur; "Eh melenggang je?". Saya tersenyum. Beg tangan saya terlindung di sebalik tudung yang labuh. Jelas bukan!? Ianya membantu dari aspek keselamatan. Begitu juga bagi ibu - ibu yang menyusukan anak. Tudung yang labuh dapat memudahkan para ibu menyusukan anak di tengah khalayak. Saya sendiri pernah melihat bagaimana seorang ibu yang duduk menyusukan anak dalam tudungnya tanpa terbuka auratya walau sedikit.


Pakaian yang longgar dan labuh adalah baik untuk golongan wanita. Ianya melindungi bahagian tubuh wanita yang tak sepatutnya dilihat. Ramai yang menyangka mereka menutup aurat tetapi sebenarnya tidak. Seperti dalam artikel yang pernah saya baca yang mengatakan " ramai wanita yang berpakaian tetapi telanjang...". Ramai yang terkeliru antara pakaian menutup aurat dan pakaian membalut tubuh.

Jika kita lihat, ramai wanita yang membalut tubuh bukannya menutup aurat. Apakah beza antara tutup dan balut? Untuk memahaminya cukup mudah. Contohnya sebuah "tapperware" segi empat kita balut sepenuhnya dengan kain atau kertas sebagai hadiah dan kita dapat lihat bentuknya dan bucu - bucunya dengan jelas. Jika kita tutup sahaja dengan kertas, kain atau tudung saji kita tidak nampak bentuk dan bucu - bucunya.
Begitulah juga dengan pakaian yang kita pakai; tutup atau balut? Anda boleh bezakan apakah pakaian yang dipakai membalut atau menutup tubuh.


Islam telah mengangkat martabat dan maruah wanita. Tetapi malangnya hari ini ramai wanita yang menjatuhkan atau meletakkan maruahnya di bawah. Ramai wanita yang menjadi mangsa rogol, bahan tontonan dan bahan pemuas nafsu. Lebih malang lagi ramai anak - anak muda yang terjerumus dalam keadaan ini. Kembalilah kepada Islam, beramallah dengan Islam, kita akan selamat dunia dan akhirat. Apabila kita muslim maka segala tanggungjawab sebagai muslim wajib dilaksanakan; bukannya buat sebahagian dan tinggal sebahagian mengikut hawa nafsu kita sendiri.


Moga - moga roh Islam kembali menghiasi diri wanita - wanita Islam. Agar generasi mendatang terpelihara dari kemusnahan akhlak dan iman.


Ya Allah... pelihara lah aku dari maksiat dan mungkar, teguhkan iman ku dunia akhirat... amin

1 comment:

Itminaan said...

Salam Ziarah Ya Ukti...
Ehm..masyaAllah, penerangan yang jelas sekali. Semoga Allah ramaikankan lagi para pembacanya dan mereka diberi petunjuk dan kesedaran InsyaAllah.
Nak tanya sekolah anti ada Muallimah yang berpurdah ye?